Rasa Macam Makan Dekat Kenduri, Ini Dia Resepi Gulai Kawah Yang Anda Wajib Cuba!

1.0 Gulai Kawah

Alangkah indahnya kalau boleh makan gulai daging kawah. Tapi susah betul nak cari, biasanya bila majlis kenduri saja baru boleh jumpa lauk special ni. Apa kata anda cuba sediakan lauk gulai daging ni di rumah untuk hidangan lauk tengah hari atau makan malam?

Barulah puas bila masak sendiri, boleh tambah banyak-banyak! Jom kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Muliadi Ramli ni.

 

RESEPI GULAI DAGING KAWAH YANG SEDAP MACAM MAKAN DEKAT KENDURI 

1) Bahan-Bahan :

  • 800gm daging pejal
  • 400gm daging cincang
  • 200gm hati paru

2) Bahan Tumis :

  • 1 biji bawang besar (dimayang)
  • Rempah 4 sekawan
  • 4 sudu besar cili boh
  • 3 helai daun pandan (tak nak letak pun tak apa)

3) Bahan Untuk Dikisar Halus

  • 10 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 ½ inci lengkuas
  • ½ inci kunyit hidup

4) Bahan-Bahan Rempah :

  • 3 sudu besar rempah gulai kawah
  • 1 ½ sudu besar rempah gulai cap rose
  • 1 sudu besar rempah masak cap rose
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • 2 keping asam keping
  • ½ keping nisse

5) Bahan Lain :

  • Garam, gula & perasa secukup rasa
  • 3 biji kentang (potong 2 atau 4)
  • 1 kotak kecil santan kelapa
  • 2 sudu besar kerisik

Cara-Cara :

  1. Mula-mula, panaskan minyak. Tumis bawang bagi wangi. Masukkan rempah 4 sekawan dan daun pandan. Kacau-kacau.
  2. Bila naik bau, masukkan cili boh. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan bahan kisar halus, kacau. Tumis lagi sampai pecah minyak.
  4. Masukkan rempah cap rose. Tumis lagi sampai pecah minyak.
  5. Masukkan daging, gaul rata. Tutup periuk dalam 20 minit. Biar air daging keluar semua. Biarkan mendidih.
  6. Masukkan asam keping, air asam jawa dan nisse. Kacau-kacau. Tengok daging. Kalau daging separuh masak, boleh masukkan santan. Kacau rata.
  7. Hati-hati, jangan sampai bawah berkerak. Kacau lagi. Boleh masukkan kentang dan kerisik. Kacau sekejap.
  8. Masukkan garam, gula dan perasa. Jika daging dah empuk, boleh tutup api. Siap dihidang panas-panas.

 

Senang saja rupanya untuk anda hasilkan sendiri gulai daging kawah di rumah. Lepas ni, tak perlulah anda tunggu kenduri semata-mata untuk nikmati lauk special ni. Mesti lagi puas bila dapat makan dengan keluarga di rumah. Nak jamu tetamu yang datang beraya pun boleh. Selamat mencuba!

 

Eh, sebelum tu nak tahu tak dekat mana nak dapatkan lauk Gulai Kawah dekat Kuching Sarawak? 

 

Singgah ke Restoran Serapi Corner untuk berehat dan menikmati makan & minum yang terletak di pasar Batu 7. Menyediakan pelbagai Masakan Melayu Semenanjung Asli Malaysia. Serapi Corner juga ada menyediakan Lauk Gulai Kawah!