Lelaki Warga Asing Dipenjara 42 Tahun Di Kuching, Sumbang Mahram Terhadap Anak Bawah Umur.

Tertuduh dipenjara 42 tahun dan dikenakan 18 sebatan.

Sumber Foto : FB Made In Borneo

Gambar: Sumbang Mahram: Tertuduh (baju biru) bersama tertuduh lain dibawa keluar dan masuk ke lori pembawa tahanan dari bilik tahanan sementara mahkamah menuju ke Penjara Puncak Borneo.

Seorang bekas jurulatih gim warga asing dijatuhi hukuman penjara 42 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuan kandungnya yang kini berusia 14 tahun.
Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh berusia 51 tahun dari Algeria itu didapati bersalah atas empat pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, dia didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana merogol anak kandungnya di kediaman mereka beralamatkan Jalan Bentara Semariang, Petra Jaya, sekitar tahun 2012, 2014, dan Mac 2019.
Oleh itu, Dayang Ellyn menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh. Manakala, pertuduhan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual ke atas mangsa yang sama.Bagi kesalahan itu, Dayang Ellyn menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tambahan dua tahun penjara mengikut Seksyen 16 SOACA 2017 beserta tiga sebatan.

Hukuman penjara dijalankan berturut-turut

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berturut-turut sekali gus menjadikan jumlah hukuman penjara 42 tahun selain daripada 18 sebatan. Dayang turut memerintahkan tertuduh menghadiri sesi kaunseling semasa dalam tahanan penjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.
Difahamkan, tertuduh telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di negeri ini serta bekerja sebagai jurulatih di sebuah pusat gimnasium. Selain itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa berusia lima tahun pada tahun 2012. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.